Kasut Raya Tiruan

Kuala Lumpur: Seorang pemborong kasut berjenama tiruan menjadikan sebuah rumah kedai di tingkat bawah rumah flat di Taman Bukit Angsana, Cheras sebagai stor simpanan.

Kegiatan pemborong yang sudah setahun beroperasi itu terbongkar selepas premis berkenaan diserbu Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) malam kelmarin.

Serbuan pada jam 7 malam oleh enam pegawai itu merampas 50,000 pasang kasut dan selipar menggunakan jenama Adidas, Nike, Crocs, Timberland, Puma, Ferrari dan Reef yang diimport dari China.



Selain itu, turut dirampas sebuah lori tiga tan yang digunakan untuk penghantaran yang semuanya dianggarkan bernilai RM600,000.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, permintaan yang tinggi menjelang Aidilfitri tidak lama lagi menjadi alasan pemborong menambah jumlah stok.

“Siasatan tidak menolak mereka sedang dalam proses menghantar pesanan kepada pelanggan terutama kedai dan peniaga pasar malam di sekitar Lembah Klang.

“Serbuan ke atas premis ini dilakukan hasil aduan awam dan risikan selama sebulan,” katanya.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 53 tahun yang dipercayai pekerja dan pemandu lori di premis itu ditahan untuk siasatan.

“Hasil soal siasat mendapati mereka menjual barangan itu antara RM3 hingga RM10 sepasang bergantung kepada saiz dan jenama kasut.

“Setiap kasut dibungkus dalam satu kotak besar yang mengandungi 48 pasang setiap satu,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8, Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh membawa hukuman denda RM10,000 bagi setiap satu barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun bagi kesalahan individu.-Hmetro

Visitor Online