Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 38, berkata, tindakannya berbuat demikian ada bersebab supaya setiap perkara yang dilaluinya boleh menjadi pengajaran buat pengikut-pengikutnya di Instagram, Facebook dan Twitter.
"Ada yang mengatakan saya sengaja ingin mencari perhatian daripada orang ramai. Bukan macam itu!
"Sebenarnya apabila ada isu-isu semasa yang berbangkit sebagai contoh seperti masalah servis syarikat telekomunikasi, masalah anak-anak ataupun isu-isu semasa lain, kita boleh berkongsi pendapat dengan orang ramai tentang masalah-masalah yang sering kita hadapi.
"Tetapi ada juga yang salah faham kononnya saya suka buat bising di sosial media," katanya kepada mStar Online.
Baru-baru ini, Rita telah memuat naik foto yang mengandungi kata-kata tidak puas hatinya terhadap sebuah syarikat perkhidmatan.
Kemudian, beberapa hari selepas itu, dia sekali lagi membuat luahan perasaan mengenai seorang individu yang bersikap kurang ajar ketika bertanyakan informasi sebuah pra sekolah.
Luahan perasaan tersebut membuatkan Rita dianggap sengaja ingin mencari perhatian orang ramai. Bagaimanapun, ada juga yang memberi respons positif dengan menyokong pelakon itu mengenai tindakannya mendedahkan kepada umum.
Sementara itu, ditanya pula mengenai isu tuntutan nafkah anak-anaknya iaitu Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna, 3, yang dituntut daripada bekas suaminya, Mohd Aidil Zafuan Abd. Radzak, kata Rita, sehingga kini pemain bola sepak negara itu seperti tidak mengendahkan permintaannya.
"Sebagai ibu, saya tidak akan berputus asa dan sanggup turun naik mahkamah sehinggalah tuntutan nafkah anak-anak dijelaskan.
"Biarlah orang nak kata apa, saya akan terus berjuang untuk anak-anak. Ayah mereka masih lagi hidup, dan menjadi tanggungjawab saya mendapatkan apa yang patut daripada ayahnya.
"Sejak kes cerai dengan Aidil, saya belajar banyak perkara di mahkamah. Banyak hak wanita yang boleh kita dapat, cuma orang ramai tidak tahu. Sebab itu, segala hak yang patut saya dan anak-anak perlu dapat akan saya tuntut," ujarnya.
Rita dan Aidil sah bercerai talak satu pada 5 September 2013 di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.
Pada 7 Julai, pelakon itu telah memfailkan tuntutan mutaah berjumlah RM300,000 daripada Aidil mengikut Seksyen 58 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Tuntutan itu adalah pemberian saguhati daripada suami kepada isteri yang diceraikan tanpa sebab yang munasabah berdasarkan syarak.
Kes itu akan disebut semula pada 11 September ini.
Terdahulu, pada November 2012, Rita menuntut RM5,392 sebulan untuk nafkah kedua-dua anak lelakinya itu yang meliputi perbelanjaan makan minum dan pengasuh.
Kes tersebut juga akan didengar semula pada 10 Disember ini di Mahkamah Rendah Syariah daerah Petaling, Subang Bestari dekat sini.--mStar