Artis: Saleha bawa kekasih Portugal jumpa bapa

PERCUTIAN pelakon jelita, Siti Saleha ke Amsterdam, Belanda dan Portugal baru-baru ini diiringi dengan suara sumbang apabila ada pihak yang mendakwa dia ke sana untuk menghabiskan masa bersama kekasihnya.

Sedangkan pemergiannya ke Belanda adalah untuk bercuti, manakala ke Portugal adalah untuk bertemu dengan keluarga kekasihnya.



Ujar Saleha, kunjungannya ke Portugal selepas hari raya itu merupakan kunjungan ketiganya ke negara tersebut untuk mendekatkan hubungannya dengan keluarga kekasihnya.

Tegas pelakon yang bakal muncul dengan filem Mamak Cup Cake pada 28 Ogos ini, dia tidak mengambil pusing apa sahaja kata orang kepadanya apabila dia memuat naik gambar percutiannya di akaun Instagram miliknya.

Sebagai orang beragama Islam, katanya dia masih tahu menjaga batas antara lelaki dan wanita.

Ikuti temu bual Kosmo! bersamanya yang ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini.

Kosmo!: Adakah Saleha sakit hati apabila orang ramai memberi komen negatif apabila gambar percutian dimuat naik di Instagram?

SALEHA: Saya tidak terasa sakit hati walaupun saya tahu ada yang memberi komen kurang manis. Sebagai orang Islam saya tahu menjaga batas dan tidak ada sebarang isu yang harus diperbesarkan. Biarlah orang mahu berkata apa sekalipun, saya tidak kisah.



Sejauh manakah hubungan anda dengan kekasih?

Kami sudah berkenalan selama setahun dan dia bekerja di Malaysia. Kami berkawan tetapi belum terfikir sehingga peringkat perkahwinan.

Adakah perbezaan agama menyebabkan anda tidak terfikir untuk berkahwin?

Saya orang Islam, sudah tentu sebelum berkahwin, perkara pertama yang harus saya fikirkan pasangan saya juga harus beragama Islam. Jujurnya, buat masa ini belum lagi kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya. Dia juga selalu berada di luar negara jadi kami terpaksa bercinta secara jarak jauh. Bagaimanapun, setakat ini saya sangat selesa bersamanya dan dia juga amat menghormati saya sebagai wanita serta saya sebagai orang Islam.

Adakah anda sudah membawa teman lelaki bertemu bapa anda?

Ya, saya pernah membawanya bertemu bapa sekali sahaja. Bapa ada bertanya kenapa saya mahu bercinta dengan lelaki Portugal bukan dengan orang Melayu? Mungkin dia takut kehilangan saya sebab saya sangat rapat dengannya. Pertemuan pertama itu, okay sahaja. Bagi saya cukup memadai bapa saya tahu dengan siapa anaknya bercinta.

Bagaimanakah anda berhubung kerana kekasih kini sudah kembali menetap di Portugal?

Sekarang banyak teknologi yang boleh saya gunakan untuk berbual dan melihat wajahnya. Bercinta jarak jauh bukan satu masalah. Saya rasa selesa kerana jika dia ada di Malaysia sekalipun disebabkan kesibukan jadual kerja saya, kami tidak ada kesempatan untuk bertemu juga. Jadi, lebih baik begini.

Ketika anda berkunjung ke Portugal tempoh hari, bagaimanakah penerimaan keluarganya?

Alhamdulillah, mereka sangat mengalu-alukan kedatangan saya. Walaupun ada kesukaran bahasa kerana ibunya bertutur dalam bahasa Portugis dan tidak fasih berbahasa Inggeris, kami boleh bergaul dengan baik. Bahasa isyarat menjadi pengganti diri.



Sampai bilakah anda akan menunggu kekasih melamar anda?

Saya tidak ada jawapan untuk itu. Seperti yang saya katakan, walaupun saya berfikiran moden tetapi apabila masuk bab perkahwinan agama itu tetap perkara pertama. Bagi saya isu agama ini agak sensitif untuk saya ulas. Biarlah hubungan kami berjalan secara semula jadi. Andai, ditakdirkan dia jodoh saya, kami akan berkahwin juga suatu hari nanti.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Filem Mamak Cup Cake bakal muncul di pawagam pada 28 Ogos ini. Saya kini sibuk dengan penggambaran sebuah telemovie khas berjudul Cinta Paling Agung bergandingan bersama Aaron Aziz. Ia menjalani penggambaran di Jakarta dan diarahkan oleh Hanung Bramantyo.--Kosmo

Visitor Online