Biar ada yang meragui bakat nyanyiannya, Liyana, 26, tidak pernah melihat ia sebagai satu halangan. Kali terakhir Liyana muncul dengan single baru sekitar tahun lalu sebelum beliau menamatkan zaman bujangnya dengan Fathuddin Mazlan (pada 2 Februari 2013).
Kini, ibu kepada bayi comel bernama Sofia Arissa berusia tiga bulan ini menjelaskan akan muncul dengan album terbaharu yang memuatkan lima lagu. Khabarnya, Adi 6ixth Sense antara komposer yang terbabit.
"Saya rasa perasaan rindu nak menyanyi itu sesekali datang bertandang. Sebab itu saya berhasrat untuk keluarkan album baru. Lagu Cinta Bersatu sebelum ini pun mendapat maklum balas yang positif.
"Tiada lagi lagu rancak sebaliknya lima lagu yang bakal dimuatkan berkemungkinan berentak balada," katanya yang akan muncul dalam telefilem Hatiku Di Krabi bergandingan dengan Hisyam Hamid menerusi siaran TV9 pada 29 September ini, jam 8.30 malam menerusi slot Skrin Di 9.
Liyana juga menjangkakan dirinya akan berpindah ke Sabah untuk tempoh yang lama sekitar hujung tahun ini. Selama ini pun suaminya sering berulang-alik dari Sabah ke Kuala Lumpur kerana rindukan isteri dan anak.
"Mungkin saya akan tinggal di Sabah dalam tempoh yang lama sehingga Sofia besar. Saya mahu dia bersekolah di KL. Tapi kalau ada tuntutan kerja, saya akan ke KL juga. Semuanya ikut keadaan," katanya.--Bharian