Artis: Kereta Tu Milik MIG, Kenapa Aeril Yang Lebih? - David Teo

PERSENGKETAAN antara pasangan selebriti Aeril Zafrel dan Wawa Zainal terhadap bekas majikan mereka nampaknya masih berlanjutan sehingga kini. Bermula daripada isu perkahwinan rahsia, kini kisah pertelagahan dua pihak ini kembali hangat apabila melibatkan isu  'kecurian' kenderaan.

Walaupun kes kehilangan kereta pelakon cantik, Wawa Zainal, telah berlaku setahun yang lalu, namun sehingga kini ianya masih belum menemui titik noktah. Ini berikutan apabila Aeril Zafrel tampil memuat naik status di Instagramnya, meminta agar wakil syarikat MIG atau pemiliknya, David Teo memulangkan kembali pakaian serta dokumen penting mereka di dalam kenderaan jenis Suzuki Swift yang dilaporkan hilang itu.

Tulisan Aeril sekaligus memberi tanggapan kepada masyarakat bahawa kereta yang selama ini hilang sebenarnya berada dalam jagaan MIG. Diminta mengulas mengenai status Aeril, David Teo memberitahu bahawa dia sendiri pelik dengan sikap suami Wawa Zainal itu yang terus memperbesarkan isu berkenaan.

"Saya pelik, kenapa Aeril beria-ria dalam kes ini sedangkan kereta itu adalah milik syarikat yang dipinjamkan secara sewa beli kepada Wawa Zainal, bukan kepadanya.

"Pihak syarikat pernah menghantar surat rasmi pada 12 Februari lalu dan menjemput Wawa Zainal datang ke pejabat untuk menyelesaikan pelbagai urusan termasuk soal kerja, projek terbaru dan kereta sekiranya dia ingin membeli kereta tersebut dari pihak syarikat.

"Namun, ketika itu Wawa membalasnya dengan berkata dia sudah keluar daripada pengurusan MIG dan tidak mahu berurusan dengan kami lagi," katanya yang mengakui kereta itu adalah hak milik MIG Production.


Ambil tindakan?

Menurut David, dia masih boleh menahan sabar apabila pelakon filem, 99 Kali Rindu, ini membuat keputusan untuk keluar daripada MIG walaupun kontraknya masih berbaki sehingga 2015.
Namun, sehingga kini, masih ada pelbagai tuduhan dan dakwaan yang dilemparkan suami pelakon berkenaan.

"Sebagai bapa angkat yang pernah membimbing serta membantu mereka satu ketika dahulu, saya masih boleh bertolak ansur dengan pasangan itu walaupun sebenarnya syarikat boleh mengambil tindakan.



"Namun, saya ingin menasihati terutamanya kepada Aeril agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan tuduhan di laman sosial. Diingatkan kesabaran saya juga ada hadnya sekiranya mereka masih terus menerus mengaitkan saya dan pihak syarikat," katanya.

Tambah David, pintu pejabat MIG masih terbuka untuk pasangan ini sekiranya mereka mahu berbincang ataupun memerlukan bantuan jika berdepan dengan kesempitan hidup dan kewangan.

Tutup mulut

Pada Julai lalu, Wawa pernah mengeluarkan kenyataan mengenai kehilangan kereta tersebut di Twitter dan memberitahu bahawa 'pencuri' itu adalah di kalangan pihak terdekat. Namun, pada masa itu, Wawa tidak menjuruskan kepada mana-mana pihak sehinggalah Aeril tampil memetik nama pihak MIG dan pemilik syarikat itu sendiri.

Bertanya kepada Wawa mengenai tindakan Aeril, dia memilih untuk terus mengunci mulut dan enggan mengeluarkan sebarang kenyataan. "Dalam hal ini, saya tak nak komen apa-apa. Tanyalah pada Aeril sendiri," katanya.

Ditanya adakah Aeril hanya mahukan dokumen tanpa mempersoalkan mengenai kereta, Wawa pantas berkata, 'Yelah kot...'. Pun begitu, usaha untuk mendapatkan Aeril tidak berhasil apabila talian telefon tidak diaktifkan.--Sinarharian

Visitor Online