KELUNAKAN lantunan melodi dan gemersik vokal dalam Oh Ibu masih mampu menjadi halwa telinga peminat industri seni muzik tempatan.
Ironinya, pemilik suara tersebut itu, Mamat tenggelam di sebalik pelbagai kontroversi buruk yang melandanya. Ia sekali gus membuatkan reputasi penyanyi yang pernah menjadi pujaan pada zaman remajanya dulu tercalar teruk.
Bermula daripada kes penceraian sehingga dikatakan hidup bagaikan gelandangan, bermacam-macam dugaan yang melanda Mamat.
Mamat atau penama sebenar Mohd Ali Kamarudin, 36, terus terpinggir dek pembangunan progresif arus seni muzik tempatan tanah air.
Namun, segalanya itu tidak sedikitpun mematahkan semangatnya dalam bidang seni. Mamat yang kini mengambil keputusan untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian sekali lagi diuji dengan pelbagai cabaran.
Mengakui terpaksa menumpang di beberapa rumah kenalannya di Kuala Lumpur untuk kembali memberi fokus dalam bidang nyanyian, Mamat berusaha untuk mendapatkan tempatnya semula dalam bidang seni suara.
Bercerita lanjut mengenai pengorbanannya untuk kembali dalam bidang yang sudah menjadi darah dagingnya itu, Mamat berkata, sejak bercerai dengan isterinya, Marshila Mustapa Kamal empat tahun lalu, dia lebih selesa menumpang di rumah temannya. Dari situ, dia dapat berkongsi masalah dengan bersama orang yang boleh dipercayai.
“Saya tiada rumah di Kuala Lumpur, jadi setiap kali ada tugasan di sini saya akan duduk menumpang dengan kawan-kawan ataupun tidur di hotel.
“Biarpun saya ada rumah di Johor tetapi saya kini lebih selesa untuk tinggal bersama rakan-rakan kerana lebih mudah untuk saya menumpukan sepenuh perhatian saya kepada bidang nyanyian,” katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Santai bersama Media di Hotel Flamingo Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mamat turut mengakui yang dia kadangkala tertekan dengan pandangan negatif sesetengah pihak terhadapnya berhubung kisah silam termasuk dalam soal penyalahgunaan dadah sebelum ini.
Hal tersebut sekali gus menyukarkannya untuk kembali aktif. Sesetengah pihak juga masih memandang serong terhadap Mamat dengan melihat kisah silamnya.
Jelas Mamat, dia berharap agar masyarakat dapat memberinya peluang untuk menebus semua kesilapan yang pernah dilakukan. Pintanya agar masyarakat tidak terus menghukumnya tanpa mengetahui keadaan sebenar.
“Mungkin saya nampak seperti tidak kisah dengan apa yang orang perkatakan tentang saya tetapi jauh di sudut hati, perasaan sedih itu ada.
“Apa yang berlaku sebelum ini adalah sejarah dan harap ia boleh diambil sebagai iktibar, malah mengajar saya mengenai erti kehidupan,” ujarnya.
Meneruskan semangat seni yang masih bersisa, Mamat bakal muncul dengan single terbaharunya yang berjudul Keluhan Cinta. Lagu tersebut dijangka akan diterbitkan menjelang penghujung tahun nanti.
Besar hasrat Mamat, biarlah lagunya itu mampu memberi peluang untuk kembali menapak dalam industri muzik tempatan.
Jelas Mamat, lagu berkenaan diterbitkan syarikat pengurusan yang menaungi kariernya kini iaitu Anita Entertainment. Dia legas atas kepercayaan diberikan oleh syarikat berkenaan terhadap dirinya.
“Sekarang lagu itu masih dalam proses menyiapkan klip video. Saya harap lagu itu mampu mengubat kerinduan para peminat yang menantikan mate- rial baharu daripada saya,” luahnya.--Kosmo