Tempoh pantang selama setahun yang dimaksudkan pelakon berusia 41 tahun itu termasuklah tidak mengambil makanan yang sejuk, berangin atau yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada dirinya kelak.
Che Ta yang ditemui pada majlis rumah terbuka anjuran syarikat Laugh Out Loud milik penyanyi Dafi dan pengurus artis, Afeeq di Binjai 8, Premium Soho, Kuala Lumpur itu juga memberitahu, dia mahu berpantang untuk tidak keluar rumah selama 45 hari bagi mengembalikan kecantikan tubuh badannya.
Sementara itu, disoal mengenai cara pantang Che Ta itu kepada Zain, ternyata pelakon berusia 30 tahun itu tidak keberatan mengikut segala keinginan isteri kesayangannya itu.
Malah, Zain juga bersedia untuk berjaga malam dan menyalin lampin pakai buang anak pertamanya hasil perkahwinan dengan Che Ta itu.
Selain bayi yang bakal lahir, Che Ta turut mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkahwinanya terdahulu iaitu Ammar Effendy, 18, dan Aniq Ezzra, 16.
Kosmo!: Boleh kongsikan mengenai usia kandungan Che Ta sekarang?
CHE TA: Usia kandungan saya kini sudah mencecah tujuh bulan.
Bagaimanakah anda akan menjalani proses berpantang anda nanti? Adakah akan melalui proses pantang yang ketat secara tradisional atau cara moden?
Saya sangat menitikberatkan pantang selepas bersalin. Saya akan pantang makan seperti tidak ambil makanan sejuk atau berangin untuk penjagaan badan.
Biasanya saya akan berpantang dengan memilih makanan tertentu seperti sayur sawi sahaja dalam masa setahun. Itu menyebabkan saya hilang selera pada sayur tersebut selepas habis pantang.
Saya juga tidak akan keluar rumah selama 45 hari. Saya kesal melihat sesetengah wanita yang tidak jaga pantang. Belum habis tempoh sudah keluar melakukan aktiviti. Mereka tidak sedar kesan yang akan diperoleh ketika hari tua nanti.
Saya lihat ibu saya, Zabedah Saad masih kuat walaupun usianya sudah 62 tahun. Ini kerana, amalan penjagaan pantang yang ketat ketika bersalin dulu.
Siapakah yang akan menjaga anda ketika berpantang nanti?
Selepas bersalin nanti saya akan dijaga oleh ibu saya.
Sudah mempunyai nama untuk anak perempuan anda?
Sudah. Insya-Allah, saya akan dedahkan nama anak pada majlis cukur jambul iaitu tujuh hari selepas kelahiran bayi tersebut. Bagaimanapun, ia akan menjadi hak siaran eksklusif stesen televisyen Astro terlebih dulu.
Bagaimanakah layanan Zain terhadap anda ketika mengandung?
Zain merupakan orang yang paling teruja untuk menanti kelahiran bayi ini. Malah, dia juga tidak membenarkan saya untuk pergi membuat pemeriksaan kandungan itu sendirian tanpa kehadirannya.--Kosmo