Pendek kata, beliau memang senang menangis. Itulah karektor sebenar insan yang popular dengan panggilan Awie atau nama sebenarnya, Azhar Othman .
Daripada sisi bergelar bapa, beliau yang kini berdepan dengan masalah rumah tangga hingga perlu naik turun ke mahkamah mengakui anak menjadi keutamaannya kini. Kasih sayangnya terhadap lima anak yang kian membesar membuatkan Awie semakin kuat.
"Saya tak boleh marah anak dan kalau saya begitu, saya akan cepat mengalirkan air mata. Apa jadi pada waktu mendatang, saya akan tetap pertahankan anak saya. Anak nyawa saya. Saya kerja keras mencari rezeki ini demi mereka," kata Awie mengenai cinta hatinya iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, Puteri Aleefa Antasha, 12, Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.
Awie kini sedang sibuk dengan latihan teater SuperMokh Sebuah Muzikal Restaging. Teater berkenaan dipentaskan semula di Panggung Sari Istana Budaya mulai 8 hingga 21 September ini. Kali pertama ia dipentaskan November tahun lalu juga di tempat yang sama.
Ketika ini, Awie juga mempunyai komitmen dengan filem Warna Cinta Impian terbitan Touchtronics Entertaiment Sdn Bhd. Bagaimanapun, Awie berehat seketika daripada penggambaran filem berkenaan demi teater Supermokh.
Untuk teater ini, Awie terus diberi mandat memegang karakter utama sebagai pemain bola sepak legenda, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari. Malah Awie perlu terus menguruskan badan demi karakter itu.
"Selepas pementasan teater muzikal Suara Kita lagi saya sudah berusaha jaga badan dengan menjaga pemakanan. Saya tak ke pusat gim untuk bersenam apatah lagi angkat besi berat kerana itu akan membuatkan badan saya mengembang pula," katanya.
Menurut Awie, asalnya beliau sudah menolak secara baik untuk tidak lagi menerima mandat dalam teater ini. Katanya, beliau bimbang masalah rumah tangganya yang menjadi kes makhamah akan menjejaskan reputasi teater ini.
Bagaimanapun Hans Isaac yang juga orang kuat kepada teater ini yakni pemilik syarikat Tall Order Production Sdn Bhd banyak memberi semangat untuk Awie meneruskan kehidupan mendatang.
"Saya jadi berbelah bahagi pula. Tambah pula teater ini dipentaskan semula atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.. Baginda mahukan saya yang pegang watak utama.
"Memikirkan jika saya tolak peluang keemasan ini umpama rugilah, apatah lagi beraksi dengan produksi yang bagus. Bukan semua akan dapat peluang yang saya dapat ini. Jadi kenapa perlu saya tolak.
"Cuma jauh di sudut hati atas kejayaan teater ini yang dulu, terbit juga perasaan takut dan tertekan untuk mengembalikan kejayaan yang sama kali ini. Dulu saya takut sebenarnya nak bawa watak lagenda bola sepak ini. Tapi kita doa yang terbaik dan perbaiki kelemahan dulu," katanya.
Pembabitan Awie di pentas teater tidak sia-sia kerana bakatnya pernah diiktiraf untuk kategori Pelakon Utama Terbaik di Anugerah Seni BOH Cameronian edisi kelapan dan sembilan. Masing-masing untuk teater Cuci The Musical dan Lat Kampung Buah sebuah Muzikal. Kedua-duanya juga terbitan Tall Order Productions.
"Saya selesa berlakon bukan hanya kerana mereka kawan saya semata-mata tetapi kerana jelas di sini saya juga mengutamakan hasil kerja yang bagus serta tenaga produksi yang terbaik. Malah saya bukan jenis yang pelakon yang dibayar untuk jadi robot.
"Tiada kepuasan dengan cara begitu. Saya bukan jenis ambil gaji hujung bulan tanpa memberikan sumbangan untuk kebaikan bersama. Bayangkan pementasan teater ini tahun lalu saya tak ada tandatangan kontrak langsung. Malah bayaran pun sampai saya tak endah.
"Hingga Hans sendiri tanya saya tak nak gajikah? Dalam hal ini, bab bayaran saya tolak ke tepi dan apa yang lebih utama ialah nikmat serta kepuasan dalam melakukan kerja yang kita cintai. Malah Hans sendiri terbuka dan menegur saya dalam apa konteks saja. Saya terima teguran ini untuk kebaikan bersama. Hans juga terbuka dengan pandangan serta idea orang sekeliling," kata Awie yang turut membantu Hans dan Harith Iskandar melunaskan penggunaan bahasa Melayu dalam skrip.
Awie di akhir perbualan ketika temubual diadakan di kafe dekat Istana Budaya baru-baru ini memberitahu beliau akan bekerjasama menerbitkan sebuah filem di samping Mamat Khalid. Judul sementara filem itu diberi nama Jejaka Gedik.
"Kami berdua akan berlakon sekali dalam filem ini. Asalnya nak kasi judul Remaja 40-an. InsyaAllah kalau jadi, penggambaran dijangka bermula hujung Oktober atau awal November," katanya.
Teater SuperMokh Sebuah Muzikal Restaging akan dipentaskan semula di IB mulai 8 hingga 21 September ini untuk memberi peluang kepada orang ramai yang tidak berkesempatan menyaksikannya tahun lalu. Ia turut mendapat kerjasama Istana Budaya dan Jugra Publication Sdn Bhd.
Selain Awie, teater diarahkan oleh Hans bersama Harith Iskander itu turut membariskan pelakon seperti Maya Karin sebagai Datin Tengku Zarina (isteri arwah), Rashidi Ishak, Douglas Lim, Dina Nadzir, Radhi Khalid, Phoon Chi Ho, Oliver Johanan dan Clarence Kuna.
Kepada penonton yang ingin menyaksikan teater ini, tiket boleh didapati di kaunter box office Istana Budaya atau menerusi atas talian di Hyperlink www.ticket2u.bizpada harga dari RM166 hingga RM306.--Bharian