Bagi wanita yang cukup mesra disapa dengan panggilan Che Ta ini, pastinya debaran tersebut turut terkena tempias kepada suami, Zain Saidin yang bakal bergelar bapa tidak lama lagi.
"Alhamdulillah kandungan semuanya okey dan tak ada masalah. Cuma pada awal kehamilan dulu selera makan bertambah-tambah. Berat badan pun sudah naik 20 kilogram.
"Saya bersyukur kerana tak mengidam apa-apa yang pelik sepanjang enam bulan ini. Cuma ada kalanya saya cepat marah dan baran disebabkan perkara-perkara tertentu," jelasnya.
Ditanya apakah yang membuatkan angin barannya naik jawab Che Ta, semuanya gara-gara komen yang dilemparkan peminat di laman Instagram miliknya.
Baginya kebanyakan peminat kerap menghamburkan kata-kata kurang manis dan tak kurang juga yang menjadikan laman sosial tersebut sebagai tempat melepaskan perasaan.
Tidak mahu emosinya terus terganggu dia telah menyekat lebih 5,000 pengikut yang disifatkan kurang elok dan negatif.
Pun begitu Zain banyak memberikan semangat agar dia tidak melayan sebarang tohmahan yang dilemparkan.
Bercerita mengenai kerjaya seni pula, Che Ta mengakui akan berehat panjang bermula sambutan Aidilfitri esok sehingga dia melahirkan anak sekitar Oktober depan.
"Memang saya tengah berdebar menantikan kelahiran ini. Sudah 16 tahun tak mengandung, pastinya perasaan kekok itu masih wujud walaupun sudah ada dua kali pengalaman terdahulu.
"Kalau ikut perancangan saya akan menjaga bayi ini sehingga habis tempoh menyusu badan. Saya tak mahu orang lain jaga apatah lagi oleh pembantu rumah.
"Kalau tak berlakon pun tak mengapa. Tambahan pula saya sudah ada syarikat produksi sendiri yang menerbitkan drama dan program televisyen.
"Itu pun sudah cukup selain bayaran menjadi duta produk kepada beberapa jenama," jelas Che Ta yang dijangka melahirkan anak perempuan ini lagi.
Zain pula menyifatkan anak yang bakal dilahirkan nanti merupakan anugerah terindah sejak bergelar suami.
Mengakui ada kala hatinya berdebar, dia tidak menafikan setiap hari akan memegang perut isterinya untuk merasai sendiri pergerakan anak di dalam kandungan itu.
"Tak dapat nak gambarkan perasaan teruja cuma saya berdebar sebab masa untuk melahirkan semakin dekat. Doa saya agar semuanya selamat dan berjalan lancar.
"Memang persiapan untuk menyambut bayi sudah lama dibuat. Saya sendiri sudah borong baju-baju bayi di London dan di sini. Semuanya sebab terlalu teruja," katanya.
Jelas Zain lagi, sebagai ketua keluarga dia tidak kisah untuk bekerja keras mencari rezeki jika isterinya membuat keputusan untuk berehat beberapa tahun selepas ini.
Ini kerana peranan tersebut sudah dipikul sejak mereka bergelar suami isteri lagi dan dia sendiri tidak ada masalah untuk menyara mereka sekeluarga.
Kemeriahan raya
Sepanjang Ramadan ini, Che Ta sudah pun membuat beberapa persiapan untuk sambutan Syawal yang disifatkannya sebagai istimewa.
"Tahun ini saya tempah 10 pasang baju berlainan warna semata-mata mahu menyambut raya. Dulu saya hanya beraya di rumah keluarga di Alor Setar, Kedah. Kali ini ada rumah mertua juga.
"Hari raya pertama saya akan beraya di Kuala Lumpur bersama keluarga Zain. Kemudian barulah saya pulang ke Alor Setar sehingga hari raya keenam," jelasnya.
Meraikan Syawal buat pertama kali sebagai suami isteri, Zain juga meminta Che Ta untuk menyediakan juadah istimewa seperti lontong yang merupakan juadah kegemarannya.
Baginya apa sahaja permintaan Zain akan ditunaikan selagi tidak membebankan diri yang sedang sarat mengandung.
Seperti tahun-tahun sebelum ini kata Che Ta, hanya pada hari raya ketiga barulah mereka sekeluarga berkumpul di kampung dan membuat rumah terbuka untuk saudara mara.
"Sebenarnya saya akan menyambung penggambaran selepas hari raya keenam. Sebab itu saya akan gunakan masa yang ada untuk beraya di rumah kedua-dua belah keluarga.
"Semua persiapan raya sudah diuruskan oleh Che Ta sebelum ini. Saya sendiri tak sabar untuk meraikan Lebaran tahun ini sebelum kelahiran anak nanti," ujar Zain pula.--Utusan