Artis: Teruja raya Rozita, Zain

RAMAH, kecoh dan deraian tawa mengekeh, seumpama signifikan dengan selebriti popular Rozita Che Wan atau mesra disapa Che Ta, 41, setiap kali ditemu bual pihak media. Sikap mudah mesranya itu cukup menyenangkan.

Bagai sudah terkena tempias keramahan dan merendah dirinya, ialah suaminya, Zain Saidin yang turut sama ‘riuh-rendah’ bersama media.

Pasangan sama cantik itu sewaktu ditemui ketika majlis berbuka anjuran syarikat pengurusan Che Ta, Laugh Out Loud Entertainment Sdn. Bhd, rancak berkongsi kisah raya dan keterujaan menyambut bayi sulung mereka,



Hadir dengan pakaian sedondon, mereka yang bakal menimang cahaya mata perempuan pada penghujung Oktober depan tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja apabila berbicara tentang bayi yang kini baru berusia enam bulan di dalam kandungan Che Ta.

“Saya yang tidak sabar sebab sebelum ini sudah ada dua anak lelaki hasil perkahwinan pertama, jadi apabila doktor sahkan anak perempuan saya orang yang paling gembira.

“Memang sudah lama saya mengidam untuk dapat anak perempuan. Selepas ini saya akan ada teman pergi membeli-belah, berdandan dan teman di dapur,” ucap Che Ta sambil ketawa.

Zain yang setia di sebelah isterinya juga tersenyum tanda bahagia. Walaupun pada mulanya dia inginkan seorang anak lelaki tetapi apabila diberitahu jantina bayinya adalah perempuan Zain tetap bersyukur.

“Secara jujurnya, saya ingin anak lelaki sebab boleh buat teman. Bagaimanapun, apabila tahu jantina anak kami perempuan saya tetap teruja tetapi yang paling gembira sudah pasti isteri saya.

“Sebelum ini, isteri saya sudah membeli-belah barangan bayi di London, England. Anak perempuan, perhiasannya lebih sedikit berbanding anak lelaki. Lihat barangan yang dibeli isteri, bagi saya memang agak banyak untuk seorang bayi,” ujar Zain.

Selain itu, Che Ta dan Zain juga mempersiapkan bilik khas untuk bayi sulung mereka berdua di kediaman baharu di Setia Alam, Selangor.

“Rumah kami sekarang tidak ada bilik bayi. Semua barangan bayi termasuk katil kami letakkan dalam bilik tidur kami kerana tidak ada ruang yang cukup.

“Jadi, apabila rumah baharu siap tidak lama lagi, kami akan terus menghiaskan bilik anak kami. Semua kerja rekaan dan hiasan bilik itu diserahkan kepada Che Ta,” balas Zain.-Kosmo

Visitor Online